Wednesday 21 December 2016

Ulangtahun Ke-10 Mendaki Gunung Kinabalu (Bahagian 1)

Assalamualaikum w.h.t dan Salam Sejahtera

Pada bulan Oktober yang lalu genap 10 tahun kejayaan saya menawan puncak Gunung Kinabalu. Sempena ulangtahun ke-10 ini, saya akan menyiarkan entri sebanyak tiga bahagian di mana melalui gambar-gambar yang dikongsikan anda dapat melihat sendiri pengalaman pendakian saya.

Mengimbau kembali kenangan manis ini kadang kala membuatkan saya sendiri bagaikan tidak percaya dengan pencapaian diri sendiri. Idea mendaki Gunung Kinabalu tercetus tanpa sebarang perancangan rapi dan bukanlah impian yang sudah lama diidamkan. Ia datang dengan mengejut dan pada ketika itu saya tidak pernah rasa risau akan risiko pendakian. Pada umur 25 tahun, saya hanya begitu teruja untuk menjelajah dan mengembara mengikut sahaja kaki melangkah.

17 SEPTEMBER 2006
Saya berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dengan menaiki pesawat MAS pada jam 4:30 pagi bersama rakan saya Sue, yang juga bakal menyertai pendakian ini.

*sila abaikan kesilapan tarikh di dalam semua gambar di bawah*


Di KLIA.


Di dalam pesawat bersama Sue.




Sue berasal dari Kota Kinabalu dan saya bermalam di rumah beliau selama beberapa hari.


Berkunjung di Pasar Ahad Gaya Street (Gaya Street Sunday Market).


Begitu banyak cenderamata yang dijual di sini.


Hasil seni lukisan penduduk tempatan turut dijual di Pasar Ahad Gaya Street.


Menjual barangan antik.



Senibina lama bangunan hotel Berjaya Palace.


Melakukan senaman secara berjoging (ala kadar) di tepi pantai Tanjung Aru merupakan persiapan saya sebelum mendaki  Gunung Kinabalu.













Pantai Tanjung Aru begitu terkenal di kalangan penduduk tempatan kerana ia lokasi menarik untuk perkelahan.


18 SEPTEMBER 2006


Melawat ke Kampung Air.


Sekali lagi pada hari berikutnya saya berbasikal di tepi pantai pada waktu senja tanda saya melakukan senaman.


19 SEPTEMBER 2006


Pada awal pagi saya dan Sue menaiki van dari bandar Kota Kinabalu menuju ke Taman Kinabalu. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 2 jam.

*Sila abaikan kesilapan tarikh*


Peta perjalanan.

*Sila abaikan kesilapan tarikh*


Di dalam van yang penuh dengan penumpang. Perjalanan kami terlewat sedikit dari waktu asal kerana pemandu terpaksa berhenti untuk menggantikan tayar van yang rosak.



Tiba di Taman  Kinabalu.


Selesai membuat pendaftaran dan pembayaran, kami menaiki bas untuk memulakan pendakian. Gambar ini dirakamkan selepas saya menelefon ibu di Ipoh. Wajah saya nampak seperti bercampur baur perasaan kerana ibu saya sebenarnya tidak senang (risau)  dengan pendakian ini.


Cuaca baik tidak menyebelahi kami kerana hujan turun sepanjang hari.


Sedikit bekalan makanan ringan dan minuman yang terdapat di dalam beg plastik yang saya bawa.


Baharu melepasi kilometer 2. Kasut saya sudah berat kerana dimasuki air.


Kilometer 3.


Masih tidak jemu untuk bergambar.


Tiba di kilometer 4.


Petang yang mendung dan berkabus.


Melihat kepulan awan di bawah saya.




Kilometer 4.5.


Perubahan permukaan gunung jelas kelihatan iaitu dari pokok-pokok ke batu-batuan.


Pemandangan yang mendamaikan.


Kad nama yang disediakan untuk setiap pendaki.


Pemandangan indah pada lewat petang. Pakcik Jomius ialah malim gunung kami. Beliau dengan rela hati menggalas beg saya dan Sue di sepanjang pendakian.


Kilometer ke 5. 


Mendaki pada waktu senja dan malam. Masih kelihatan jelas perkampungan di kaki gunung.


Selamat tiba di Panar Laban Hut lebih kurang 8:30 malam. Pondok kecil ini ialah tempat bermalam kami yang jaraknya dengan Laban Rata ialah lebih kurang sepuluh minit berjalan kaki. Oleh kerana saya dan Sue menempah penginapan di minit terakhir maka kami tidak dapat menginap di Laban Rata yang biliknya mempunyai alat pemanas.

Panar Laban Hut tidak mempunyai alat pemanas justeru kami tidur dengan memakai baju yang tebal. Makan malam  kami ialah roti dan mee segera.


Rumusan Pendakian Hari Pertama
Saya bersyukur kerana selamat tiba di tempat penginapan walaupun kami tiba terlalu lewat dari para pendaki yang lain oleh kerana dari dua faktor.
Yang pertama ialah kerana van yang kami naiki dari Kota Kinabalu yang sepatutnya mengambil masa dua jam perjalanan mengalami kerosakan pada tayar.

Faktor kedua dan penyebab utama kelewatan ialah, Sue mengalami masalah semput seawal suku pendakian. Saya dan Pakcik Jomius (malim gunung) terpaksa berhenti banyak kali kerana mahu mengikut tahap kesesuaian Sue.

Pakcik Jomius saya ibaratkan seperti bapa sementara. Beliau bukan sahaja dengan rela hati menggalas dua beg kami di sepanjang pendakian malah apabila sudah malam, beliau menggendong Sue hingga ke Laban Rata. Semasa pendakian pada waktu malam, saya meninggalkan Sue dan Pakcik Jomius lebih kurang 20-30 meter di belakang. Bertemankan lampu suluh di kepala dan memasang surah Yasin melalui telefon bimbit, saya hanya mahu cepat sampai ke tempat penginapan dan tidak ada perasaan takut pada ketika itu. Pakcik Jomius juga menggalakkan supaya saya tiba Laban Rata terlebih dahulu.

Apabila tiba di Laban Rata, saya ibarat seperti 'orang terkenal' kerana ke semua malim gunung sedang menantikan kami dan terutama sekali sahabat mereka iaitu Pakcik Jomius. Mungkin mereka mendapat maklumat yang kami bertiga lewat dari dua orang pendaki Australia yang sepatutnya berada di dalam kumpulan di bawah jagaan Pakcik Jomius. Jika saya meneruskan pendakian bersama pendaki Australia, sudah tentu saya akan tiba di tempat penginap pada sebelah petang.

Sue meminta maaf berkali-kali kerana beliau tahu kelewatan ini berpunca dari beliau. Tidak perlu saya memarahi kerana yang penting kami bertiga selamat. Pada pendapat saya ada hikmah disebalik apa yang terjadi. Jika tidak kerana kelewatan ini, saya tidak berpeluang merasai pengalaman mendaki pada kepekatan waktu malam.

Saya tidak cerewet dengan makan malam yang sekadar mengalas perut. Apa yang penting ialah saya memerlukan tidur kerana pendakian hari kedua bermula seawal jam 2:30 pagi. Jujur saya katakan di sini bahawa pendakian hari pertama tidak meletihkan. Mungkin kerana saya sentiasa berfikiran positif dan keseronokan serta keterujaan mendaki mengatasi perasaan negatif yang boleh melemahkan semangat saya. Seperkara lagi ialah 'bonus' yang saya perolehi apabila Pakcik Jomius yang menggalaskan beg saya sepanjang pendakian hari pertama.

Entri ini akan bersambung ke bahagian 2.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang melancong, sila nyatakan di dalam ruangan komen dan tinggalkan alamat e-mel untuk saya membalasnya kelak. Anda juga boleh ikuti perkembangan terkini saya melalui akaun Instagram, blog_th2010.


No comments:

Post a Comment